PEJABAT Tun Abdullah Ahmad Badawi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran berita palsu yang mendakwa bekas Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia.
Dalam satu kenyataan, pejabat itu memaklumkan bahawa Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah berada dalam keadaan sihat di samping keluarga.
“Pihak pengurusan berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan sebelum menyebarkan apa-apa berita bagi mengelakkan kekeliruan,” kata kenyataan itu hari ini.
Tahun lalu, tiga dakwaan mengenai berita kematian Abdullah tular menyebabkan satu laporan polis terpaksa dibuat pihak pengurusan pejabat beliau.
Kali terakhir berita palsu Abdullah meninggal dunia adalah pada 22 April lalu menerusi Facebook. – Malaysiapost

