MKN perlu keluar data terkini kes Covid-19 di Kampung Sungai Penchala

0
1
Tiga kawasan di Kampung Sungai Penchala yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ke-5 adalah Jalan Sungai Penchala 11, Jalan Sungai Penchala 12 dan Jalan Sungai Penchala 12(A) ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) digesa mengeluarkan data harian mengenai situasi terkini kes positif Covid-19 di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur bagi mengelak persepsi yang salah berbanding fakta dan situasi sebenar di lapangan.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, berkata Kampung Sungai Penchala meliputi kawasan kampung yang luas dan mempunyai jumlah penduduk warga Malaysia dan bukan warga Malaysia yang tinggi.

Menurutnya, saringan percuma yang telah dilakukan minggu lalu hanya melibatkan sampel yang agak kecil berbanding jumlah populasi di kawasan berkenaan.

“Memasuki hari ketujuh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti berkenaan yang dijangka tamat 23 Jun ini, saya telah dimaklumkan terdapat ramai penduduk yang ingin mendapatkan perkembangan terkini dan data terbaharu.

“Keadaan ini akan menjadikan maklumat atau data yang mereka perolehi sesama sendiri berkemungkinan besar tidak tepat atau boleh memberikan persepsi yang salah berbanding fakta dan situasi sebenar di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa MKN supaya mengeluarkan data harian untuk rujukan dan sebagai makluman kepada penduduk yang terlibat dengan PKPD atau yang tinggal di luar kawasan PKPD di Kampung Sungai Penchala.

“MKN perlu mengeluarkan data harian tersebut secara terperinci termasuk jumlah mereka yang telah didapati positif Covid-19, bilangan yang diarah kuarantin di rumah, jumlah dibawa ke hospital, kawasan yang terlibat malah jumlah kematian jika ada pada hari terbabit.

“Data harian ini mesti diumumkan dan diterbitkan setiap hari di semua platform media sosial milik MKN atau melalui aplikasi yang mudah diakses dan boleh dikongsikan kepada wakil-wakil persatuan penduduk di Kampung Sungai Penchala,” katanya.

Menurutnya, informasi yang tepat akan membantu semua pihak melawan Covid-19 dengan pantas dan efektif.

Kampung Sungai Penchala dikenakan PKPD bermula 10 Jun lalu berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 dengan 65 kes positif dikesan di lokaliti berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here