MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya menetapkan 11 Ogos 2021 untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung pembayaran RM1.69 bilion yang tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengarahkan bekas Perdana Menteri itu membayar tunggakan tersebut kepada LHDN.
Pendengaran rayuan sepatutnya berlangsung hari ini namun ditunda susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keputusan tersebut dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman pada pengurusan kes itu secara dalam talian hari ini, lapor Malaysia Gazette.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Kerajaan Malaysia.
Ia berikutan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu bagi menuntut jumlah tunggakan berkenaan.
Ia bermakna permohonan LHDN supaya Najib membayar tunggakan cukai pendapatan itu tidak perlu dibicarakan di mahkamah. – Malaysiapost

