JAKIM minta penjelasan SUHAKAM isu kajian perundangan iktiraf jantina ketiga

0
2

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memohon penjelasan rasmi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung projek penyelidikan yang ingin dijalankan mengenai perundangan untuk mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.

Ia susulan hantaran suruhanjaya itu Facebook dan laman sesawangnya pada Isnin lalu bagi mencari penyelidik untuk kajian kebolehlaksanaan undang-undang berhubung isu berkenaan.

Berdasarkan hantaran itu, projek penyelidikan berkenaan dijangka mengambil masa lima bulan bermula dari tarikh pelantikan dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun dan penyelidik diperlukan secepat mungkin.

“JAKIM telah memohon penjelasan rasmi SUHAKAM mengenai perkara ini,” menurut kenyataan JAKIM dalam satu hantaran di Facebook semalam.

JAKIM turut berkongsi tangkap layar pencarian penyelidik yang dibuat suruhanjaya berkenaan.

Dalam satu hantaran terbaharu hari ini, JAKIM berkongsi sebab kenapa jantina ketiga tidak wajar diiktiraf di Malaysia yang disenaraikan oleh Peguambela dan Peguamcara Peguam Syarie, Mardhiyyah Johari.

Mardhiyyah yang juga Ketua Kluster Undang-Undang Pertubuhan Advokasi dan Hak Asasi Wanita Antarabangsa Malaysia, menyenaraikan enam sebab jantina ketiga tidak wajar diiktiraf.

“Perkahwinan sesama jantina akan meruntuhkan institusi kekeluargaan; menyebabkan perlakuan jenayah hubungan sejenis (377A & 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997) dan ketidakadilan terhadap jantina asal, contohnya lelaki transgender mengatasi atlet wanita dalam pertandingan sukan.

“Selain itu, ia akan menyebabkan penipuan jantina, contohnya lelaki normal ditipu berkahwin dengan bukan wanita asli; menafikan prinsip agama Islam yang melarang perbuatan transgender dan akhir sekali mencemari hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan FMT, Pesuruhjaya SUHAKAM Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus, berkata kajian berkenaan hanyalah kajian dalaman badan itu dan tidak membabitkan orang awam.

“Kita baru peringkat nak kaji, perkara ini adalah urusan dalaman dan bila kita nak buat kajian sudah tentu kita akan iklankan untuk dapatkan penyelidik,” katanya yang menganggap kekecohan itu sebagai salah faham,” katanya.

Menurutnya, SUHAKAM harus diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga dalam negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here