PENGASAS produk kosmetik yang sebelum ini disiasat kerana didakwa mempersendakan Islam, ditahan pula kerana dipercayai memukul anak perempuannya kerana berang dengan status WhatsApp dimuat naik remaja berkenaan.
Gadis berusia 16 tahun itu turut dipercayai dipukul oleh bapa tirinya dalam kejadian pada jam 4.30 petang semalam di rumah mereka di Kampung Pauh, Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata mangsa mengalami bengkak bahagian kiri kepala, luka pada bahagian dalam pipi dan lebam beberapa anggota badan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dipanggil keluar dari bilik oleh ibunya yang tidak berpuas hati dengan status WhatsApp berkenaan.
“Dia kemudian dimarahi ibunya dan ditampar oleh bapa tirinya beberapa kali.
“Selepas itu, wanita berkenaan memukul kepala anaknya menggunakan tangan. Ibu remaja itu kemudian cuba memukul mangsa dengan kayu hoki, namun dia sempat melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada status dimuat naik mangsa mengenai ibunya yang mengungkit mengenai soal harta selain (si ibu) turut memarahi remaja berkenaan kerana tidak bekerja,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.
Menurutnya, ibu dan bapa tiri mangsa yang kedua-duanya berusia 33 tahun, bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang ugutan jenayah semasa kejadian.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan pada jam 9 malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Pada 31 Mei lalu, wanita terbabit diambil keterangan susulan penularan satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp memaparkannya menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021.
Wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia – Malaysiapost

