PARTI Bumiputra Perkasa (PUTRA) pelik dengan langkah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Pelan Pemulihan Negara sehari sebelum persidangan Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan esok.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali, berkata tidak diketahui strategi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat fasa strategi Pelan Pemulihan Negara itu di saat Raja-Raja Melayu hendak membincangkan perkembangan semasa negara.
“Pelan ini boleh diibaratkan talian hayat PN kekalkan darurat dan dijangka Parlimen bersidang pada September atau Oktober tetapi dengan syarat-syarat tertentu.
“Darurat patut tamat pada 1 Ogos. Kenapa pula Parlimen dijangka bersidang September atau Oktober? Patutnya awal September sudah boleh bersidang.
“Malah sekarang pun Parlimen boleh bersidang kerana Yang Di Pertuan Agong telah beri perkenan untuk Parlimen bersidang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai darurat, Ibrahim berkata, rakyat tidak bodoh untuk berfikir berhubung permainan politik licik yang mempersendakan sistem demokrasi berparlimen.
“Kalau dahan sudah rapuh, buat macam mana pun, dahan tetap patah. Ikatlah dahan dengan tali rafia setakat yang boleh.
“Mungkin benar ada yang mendakwa darurat kekal dan mahu dilanjutkan kerana mahu bergayut pada kuasa sebab hilang majoriti. (Benajamin) Netanyahu Israel hilang jawatan Perdana Menteri dengan satu undi sahaja,” katanya.
Ibrahim juga berkata, PUTRA hanya mahu tunggu dan lihat keberkesanan Pelan Pemulihan Negara ini dan tidak mahu memberi sebarang cadangan kecuali menggesa Parlimen bersidang segera.
“Budaya belum apa-apa sudah puji melangit. Hasilnya belum ada. Atau mengecam secara tiba tiba, tanpa beri peluang kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Selalunya yang dikata ‘good policy’ tetapi berakhir kegagalan demi kegagalan. Sudah banyak bukti. Keupayaan perlaksanaan adalah terburuk di Malaysia. Tengok sajalah program imunisasi yang kelam kabut dan pencapaiannya setakat F kalau peperiksaan SPM,” katanya.
Justeru itu, Ibrahim berharap hasil persidangan Majlis Raja-Raja esok dapat menggembirakan rakyat.
“Semoga perjumpaan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun menghasilkan kegembiraan untuk rakyat jelata. Keputusan yang akan dilihat, Raja berdaulat rakyat berkat,” katanya. – Malaysiapost

