Gaduh tolak bakul sayur, polis buka kertas siasatan

0
2

TULAR di media sosial kekecohan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dilaporkan berlaku akibat perselisihan faham dalam kalangan pekerja susulan insiden menolak bakul sayur.

Susulan itu, polis telah memulakan siasatan berdasarkan tiga video terbabit yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata video yang tular itu menunjukkan sekumpulan lelaki menjerit-jerit dan tolak-menolak antara satu sama lain.

Katanya, siasatan mendapati pergaduhan berlaku pada jam 4.30 petang semalam dan berpunca akibat selisih faham antara kedua-dua pihak berkenaan.

Beliau berkata, polis tiba di tempat kejadian sejurus menerima maklumat.

“Bagaimanapun semasa tiba di tempat kejadian, didapati pergaduhan itu telah selesai. Polis juga mendapati tiada sebarang senjata digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar di tempat awam dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Individu yang terbabit sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here