POLIS terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah sebuah kereta yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum melanggar mati seorang warga emas di Jalan Perak, Georgetown, hari ini.
Tembakan itu dilepaskan berhampiran kawasan perumahan di Jalan Batu Uban 2, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi langgar lari susulan suspek lelaki berusia 46 tahun itu cuba merempuh polis yang mengejarnya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu menaiki Perodua Myvi ditahan anggota polis yang melakukan rondaan pada jam 6.40 pagi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Jalan P Ramlee menghala Jalan Perak.
Katanya, suspek tidak mempedulikan arahan polis sebelum melarikan diri dan melanggar seorang lelaki berusia 61 tahun yang melintas jalan di Jalan Perak hingga menyebabkan kematian.
“Seorang warga emas mati di lokasi kejadian akibat dilanggar suspek ketika melarikan diri.
“Selepas pelanggaran itu, suspek melarikan diri ke arah Jalan Van Pragh dan sebaik tiba di Jalan Batu Uban 2 berhampiran E Park, suspek telah diarah memberhentikan kenderaannya, namun masih bertindak agresif untuk melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis di lokasi kejadian.
“Ekoran itu, anggota kereta peronda terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebelah kanan belakang kereta suspek dan dalam masa sama, seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal yang memberi bantuan melepaskan satu das tembakan di bahagian hadapan kereta.
“Polis mengejar suspek hampir 30 minit sebelum dia berjaya ditangkap di Jalan Batu Uban 2 dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Menurut Soffian, pemeriksaan lanjut polis menemui tiga paket dadah jenis heroin seberat 13 gram dalam milikan suspek.
“Semakan ke atas kereta dinaiki pula mendapati ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewa kenderaan di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas.
“Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod membabitkan 14 kes dadah dan dua kes jenayah,” kata Soffian. – Malaysiapost
Foto Kredit: Polis

