Rukun Negara bukan sekadar dijulang secara simbolik- Agong

0
2

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mahukan Rukun Negara dijadikan prinsip dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Titah baginda, Rukun Negara bukan sekadar dijulang secara simbolik menerusi bacaan saban tahun ketika sambutan hari kebangsaan.

“Semangat Rukun Negara yang berupaya menjadi tiang seri perpaduan rakyat berbilang bangsa, agama dan kaum itu harus dihayati serta diamalkan dalam setiap aspek kehidupan.

“Rukun Negara menuntut perpaduan rakyat dibentuk menerusi budaya sopan, santun, hormat dan disulami pelbagai nilai murni.

“Pada hemat beta, prinsip-prinsip dan teras Rukun Negara bersifat sejagat, merentasi nilai murni semua bangsa dan agama, yang berupaya menyuluh laluan rakyat Malaysia dalam amalan hidup sebagai sebuah negara merdeka,” titah baginda, hari ini.

Oleh itu titah baginda prinsip itu bukan saja perlu diterap dalam kalangan rakyat, malah pemimpin negara dan kerajaan.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Dataran Pahlawan Negara, dekat Presint 1, di Putrajaya, tepat pada jam 8 pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.- Malaysiapost