Mesyuarat luar biasa Menteri Umno dengan Zahid petang ini

0
2

BARISAN jemaah menteri Umno dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid petang ini.

Difahamkan, mesyuarat itu akan berlangsung di Bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang nanti.

Sumber memaklumkan kepada Malaysiapost, antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk intipati pertemuan Ahmad Zahid dengan Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.

Difahamkan, mesyuarat berkenaan diadakan secara mengejut oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan menghantar jemputan sejak petang semalam.

“(Mesyuarat) tertutup… no statement. (Bincang) agenda semasa negara termasuk pertemuan dengan Agong,” katanya ringkas.

Beberapa pegawai Menteri Umno yang dihubungi juga tidak mendedahkan mengenai tujuan mesyuarat berkenaan, namun menjelaskan maklum mengenai pertemuan itu.

Difahamkan, Ismail yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) akan mengadakan perjumpaan dengan semua Menteri Umno terlebih dahulu sebagai persediaan sebelum berjumpa Ahmad Zahid petang ini.

Walaupun ‘tidak jelas’ tujuan mesyuarat itu diadakan, namun kemungkinan besar ia bakal membincangkan usaha untuk mendapatkan keyakinan Ahmad Zahid menyokong sambungan darurat.

Selain itu, pertemuan berkenaan juga dijangka akan membincangkan mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Umno.

Minggu lalu, 15 wakil ketua parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula Rabu hingga Jumaat, sebelum ia berakhir semalam.

Keadaan itu sekali gus menghangatkan kembali suhu politik negara apabila timbul pelbagai spekulasi dan cadangan daripada pemimpin politik susulan daripada sesi menghadap berkenaan.

Antara lain, isu penjajaran politik baharu kembali hangat diperkatakan, selain khabar angin wujud gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) ahli parlimen.

Malah, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti MAGERAN ketika menghadap Al-Sultan Abdullah.

Umno tidak kurang merasa tempias, apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa Ahmad Zahid tidak berbincang dengan pemimpin lain dalam parti itu sebelum menghadap Agong.

Tindakan itu katanya, dilihat seolah-olah Ahmad Zahid hanya membawa agenda peribadi dan keputusan yang dipersembahkan kepada Agong tidak semestinya mewakili parti itu.

Tempoh proklamasi darurat akan tamat 1 Ogos depan, persoalan sama ada ia akan ditamat atau disambung bergantung atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here