Pahang akan perluas Hutan Simpanan Kekal Chini

0
3

KERAJAAN Pahang akan memperluaskan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini daripada 4,600 hektar seperti diluluskan untuk pewartaan pada 13 Mac 2019, kepada antara 6,000 dan 7,000 hektar.

Tindakan segera itu diambil atas titah-saranan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai pelbagai perkara berkenaan pemuliharaan Tasik Chini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri, telah diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

Perluasan itu, katanya, wajar kerana dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga dan memelihara/memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 dan 700 hektar menurut musim.

“Perluasan ini juga wajar yang dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenainya.

“Sepertimana semua sedia maklum, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.

“Ia berlandaskan tiga teras utama berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies/hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama itu, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Penampan dan Peralihan dengan fungsinya yang berbeza.

Katanya, dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititah-sarankan, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan.

“Apabila TCRB dapat dijayakan dengan lebih berkesan, sekali gus dapat turut menyempurnakan titah-saranan KDYMM Tuanku agar pengiktiarafan bertaraf dunia oleh UNESCO itu, dapat terus dipertahankan.

“Kerajaan negeri akan turut segera berusaha melaksanakan kerja-kerja penanaman semula sepertimana kerja-kerja penanaman semula hutan yang setakat ini.

“Kerajaan negeri telah membelanjakan RM250,000 untuknya. Lagi RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya lagi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR) dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan.

“Semoga dengan usaha-usaha ini yang akan dilaksanakan sesegara mungkin sebagai menjunjung titah-saranan KDYMM Tuanku, dan dengan komitmen tinggi semua pihak, Tasik Chini akan dapat dipulihara dalam tempoh masa sewajarnya, Insya-Allah,” katanya.

Semalam Pemangku Raja Pahang menyarankan aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.

Saranan itu dititahkan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selepas baginda mengadakan lawatan mengejut di sekitar kawasan Tasik Chini.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda juga meneliti laporan dipersembahkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan di kawasan terbabit serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan dijalankan kerajaan negeri.

“Baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan baharu sejak 2019.

“Baginda selanjutnya menitahkan kerajaan negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam bidang kuasa masing-masing dapat mengambil beberapa langkah.

“Tasik Chini merupakan permata alam sekitar di bumi Pahang Darul Makmur dan Tanah Rizab Bisfera UNESCO pertama di negara ini. Justeru pengiktirafan bertaraf dunia itu hendaklah dipertahankan,” katanya dalam kenyataan media. – Malaysiapost

Foto Kredit: Isma Web

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here