PEJABAT Peguam Negara telah memberi izin mendakwa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuduh seorang pegawai suruhanjaya itu bersama seorang lagi tertuduh atas kesalahan rasuah di Mahkamah Seksyen 1 Shah Alam, hari ini.

Pegawai berkenaan, Shahrul Izuan Mohd Zin, 41, dituduh bersubahat dengan Teoh Peng Sin, 55, bagi menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000.
Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan terhadap seorang individu di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Kedua-dua tertuduh ditahan oleh SPRM pada 14 April 2021 dan pertuduhan hari ini dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, Rozilah Salleh.
Pegawai terbabit pernah ditahan polis di bawah Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012, bagaimanapun pertuduhan hari ini tiada kaitan dengan kes tersebut.
SPRM menerusi kenyataan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa pelanggaran undang-undang oleh pegawainya dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan perkara tersebut. – Malaysiapost

