PH ingatkan Radzi Jidin, isu pendidikan jauh daripada selesai

0
2
Dr. Radzi Jidin

JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mengingatkan Menteri Kanan Pendidikan serta dua timbalannya bahawa isu pendidikan semasa pandemik dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan jauh daripada selesai.

Ia di sebalik keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin minggu lalu, menyaksikan kegigihan murid belajar dan berusaha sepanjang pandemik.

Menerusi kenyataan hari ini, jawatankuasa itu berkata apa yang lebih mencabar adalah pendidikan selepas pandemik yang rakyat perlukan.

“Kita perlukan satu pelan besar dan perancangan jangka panjang untuk pendidikan selepas pandemik berakhir.
“Jika dilihat perkongian negara-negara anggota UNESCO dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran UNESCO pada 29 Mac 2021, pelbagai pendekatan di luar kotak telah digunakan hatta oleh negara-negara dunia ketiga.

“Sehingga kini, banyak isu yang ditimbulkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) tetapi tidak pernah mendapat respon dan jawapan.

“Malah, Menteri Kanan dan kedua-dua timbalannya seakan-akan mengenepikan suara rakyat, guru, ibu bapa, kesatuan guru dan masyarakat amnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Pengerusi JKPPH, Dr Maszlee Malik; Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR); Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah); Teo Nie Ching (DAP); Natrah Ismail (PKR); Steven Sim Chee Keong (DAP) dan Rusnah Aluai (PKR).

Mengulas lanjut, JKPPH menekankan bahawa prinsip ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’ dan ‘Pendidikan Adalah Tanggungjawab Bersama’ tidak boleh digadaikan.

Katanya, di kala saat getir ini, KPM perlu menjadi pemudah cara untuk menggembleng tenaga semua untuk rakyat bangkit seiring senada bersama membangunkan pendidikan negara.

“Selain guru, ibu bapa yang secara tidak langsung menjadi guru di rumah tatkala PdPR berlangsung memerlukan bimbingan, bahan sokongan dan panduan untuk membimbing anak-anak.

“Hal ini juga perlu diberikan perhatian. Di beberapa negara seperti dilaporkan UNESCO, mereka menyediakan saluran khusus dan program penerangan di media untuk membimbing ibu bapa bagi tujuan Pendidikan anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, JKPPH menggesa agar:
a) KPM berkongsi data murid cicir serta menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan langkah-langkah pemulihan.

b) KPM perlu juga berkongsi data keberkesanan PdPR dan membentang pelan penambahbaikan demi kelangsungan pendidikan murid-murid di seluruh negara.

c) KPM seharusnya mewujudkan satu laman web rujukan yang khusus (one stop center) kepada para guru dengan memuatkan bahan pengajaran, modul dan latihan yang boleh digunakan untuk PdPR.

d) Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pakar, professional, ahli akademik dan wakil daripada para guru dan persatuan ibu bapa untuk merangka pelan bersepadu pendidikan pasca Covid-19. Hal ini telah berkali-kali dibawa oleh pelbagai pihak namun dipandang sepi oleh kerajaan.

e) Kerajaan menggembleng tenaga di antara KPM, KKMM dan agensi-agensi lain untuk memperbanyakkan lagi siaraya, mesej video tular dan rancangan di televisyen untuk membimbing ibu bapa bagi membantu anak-anak sepanjang PdPR berlangsung.

Foto Kredit: FB/Dr. Radzi Jidin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here