KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mula menyerang peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Wan Saiful mendakwa Najib ‘menyorokkan’ isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai strategi menenggelamkan isu yang berkait dengannya.
“Saya hairan juga mana hilangnya Rosmah Mansor. “Can I advise you something” dibuat di rumah saja. Bagus juga Rosmah ni. Patuh SOP.
“Ini pun strategi “diversion”. Bila Najib sembunyikan Rosmah, orang dah tak nampak Rosmah. Bila orang tak nampak, maka perlahan-lahan dia mahu media dan rakyat lupa mengenai kemewahan Rosmah.
“Maka perhatian akan “divert” ke isu lain,” catatnya.
‘Serangan’ itu tercetus ekoran beberapa hantaran Facebook Najib berhubung kenyataan Wan Saiful mendapat sambutan netizen.
“Saya lihat Datuk Seri Najib Razak begitu tekun troll beberapa orang dalam kerajaan Perikatan Nasional, iaitu kerajaan dia sendiri. Perbuatan troll kerajaan sendiri ini sebenarnya pelik, tetapi dalam strategi “diversion” ia memang perlu dibuat.
“Tambahan pula, sekarang Najib tak perlu ulang alik ke mahkamah sebab mahkamah tutup semasa PKP. Bolehlah jadi Ketua Perungut Kebangsaan sepenuh masa,” kata Wan Saiful lagi.
Wan Saiful mendakwa kecaman yang beliau terima di media sosial itu adalah daripada ‘cybertroopers’ yang diupah Najib.
“Yang menariknya, setiap kali saya komen mengenai dia, maka beribu cybertroopers datang serang posting saya. Ramai sungguh team Najib Razak ni ya.
“Kalau isteri tersayang Datin Seri Rosmah Mansor dikatakan bayar RM100,000 sebulan untuk cybertroopers, agak-agak Najib bayar berapa juta sebulan ya?
“Nampak macam ramai juga ahli team cybertroopers Najib ni ya. Atau adakah dengan Jajaran Baru yang dia sedang kempenkan, Najib sudah bergabung juga dengan Red Bean Army (RBA)?
“Saya nampak sejak Najib bawa idea Jajaran Baru ini, tahap aktiviti RBA dan team Najib hampir sama hebat,” katanya. – Malaysiapost

