KERAJAAN tidak perlu meletak tarikh tutup bagi pendaftaran suntikan vaksin Covid-19, sebagaimana dicadangkan oleh Ketua Penerangan Bersatu.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia supaya dapat memastikan vaksin tersebut diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, katanya ia juga dapat meningkatkan kempen kesedaran dan membantu orang ramai mendaftar khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya lagi, kawasan-kawasan terbabit menghadapi masalah dari segi internet dan sebahagian mengalami kesukaran untuk mengisi borang menerusi laman sesawang.
“Pengalaman Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Puteri Umno membantu menggerakkan pendaftaran vaksin terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar seluruh negara, ramai juga hadapi masalah literasi dan akses digital yang perlukan bantuan.
“Justeru, tidak perlu tetapkan tarikh tutup pendaftaran sebagaimana cadangan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan walaupun berpengalaman menjadi penulis Manifesto PH dulu,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan seharusnya menjadi pemudahcara kepada rakyat bukannya ‘penyusahcara’ dengan mengenakan pelbagai tekanan dan sekatan tanpa memahami kondisi dan situasi rakyat.
“Setuju semua?,” soalnya.
Semalam, media melaporkan Wan Saiful meminta kerajaan menetapkan tarikh tutup untuk pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan mereka yang belum mendaftar, akan berasa penting untuk segera melakukannya. – Malaysiapost

