Tak pakai ‘mask’ ketika kompaun peniaga, penguatkuasa PBT berdepan tindakan

0
2

POLIS akan mengambil tindakan terhadap seorang penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), susulan gambarnya tidak memakai pelitup muka ketika mengeluarkan kompaun terhadap peniaga di Rantau Panjang, Kelantan, tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata penguatkuasa berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati lelaki berusia 39 tahun itu bekerja sebagai Penguat kuasa PBT di Pasir Mas.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis sedang mengesan kakitangan PBT tersebut untuk dikenakan tindakan segera, susulan laporan polis dibuat.

“Kejadian penguatkuasa yang tular adalah ketika mengenakan kompaun terhadap peniaga jalanan yang menjalankan perniagaan di lokasi tidak dibenarkan iaitu berdekatan Masjid Beijing, Rantau Panjang.

“Gambar yang tular menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana penguatkuasa berkenaan tidak memakai pelitup muka ketika menjalankan tugas.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat bertujuan untuk menjalankan risikan dan siasatan terperinci berkaitan gambar yang tular dan mengambil tindakan sewajarnya kepada penguatkuasa yang terbabit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tular sejak semalam tindakan penguatkuasa berkenaan yang mengenakan kompaun terhadap peniaga jalanan dan pada masa sama dia tidak memakai pelitup muka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here