PROSES pemberian vaksin kepada petugas media akan dipercepatkan lagi terutama membabitkan kumpulan media yang akan membuat liputan di temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berkata janji temu dos kedua kepada petugas media yang akan membuat liputan temasya sukan berkenaan akan diaturkan supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan vaksinasi sebelum berlepas pada bulan depan.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata bagi vaksinasi media yang telah bermula pada Rabu lalu, sehingga hari ini telah berjaya memenuhi sekitar 250 vaksinasi buat petugas media daripada kira-kira 5,000 nama yang telah disenaraikan di seluruh negara.
“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan dalam proses memberikan janji temu kepada petugas dalam senarai tersebut termasuk mereka yang akan membuat liputan ke Sukan Olimpik Tokyo pada hujung Julai nanti.
“Hari ini kita mula memberi vaksinasi kepada 38 petugas media, daripada 47 petugas agensi tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan di Olimpik Tokyo bagi mendapatkan suntikan dos pertama mereka di di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan bantuan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).
“Selebihnya bagi petugas yang telah mendapat suntikan dos pertama seperti AstraZeneca, CITF akan mengatur janji temu dos kedua mereka supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan mereka sebelum berlepas pada bulan depan,” katanya dalam sidang media mingguan perkembangan PICK hari ini.
Menurutnya, selepas sekumpulan 100 wartawan menerima suntikan pertama di Dewan Seroja Putrajaya Rabu lalu, seramai 123 petugas media di Perak juga telah menerima suntikan dos pertama mereka pada Jumaat lalu.
“Setakat hari ini, sebanyak 700 janji temu telah diberikan kepada para petugas media di seluruh negara untuk dos pertama vaksinasi Covid-19 dan lebih banyak janji temu akan dikeluarkan dalam minggu ini daripada 1,500 yang dijanjikan Rabu lalu,” katanya.
Khairy berkata, CITF bagaimanapun perlu mengimbangi keperluan vaksinasi petugas media dengan keperluan imunisasi untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan komorbid yang turut diutamakan dalam Fasa 2 PICK kini,” katanya. – Malaysiapost

