Pemuda PH lapor polis terhadap Takiyuddin

0
2

PEMUDA Pakatan Harapan (PH) hari ini membuat laporan polis ke atas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kenyataan beliau berkenaan ‘nasihat’ Kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tentang kedudukan tempoh darurat.

Laporan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu dibuat oleh Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin serta disertai Ketua Pemuda Amanah Melaka, Muhammad Kamal serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PH, Haziq Norizan dan Shahrul Shahabudin.

Shazni Munir berkata, pihaknya percaya bahawa kenyataan Takiyuddin telah menyimpang daripada Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021.

Katanya, seksyen tersebut memperuntukkan hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa bebas untuk menasihati YDPA mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

“Lebih membimbangkan, kami khuatir kenyataan Takiyuddin sebagai salah satu cara menghasut orang ramai untuk bertindak pada YDPA sekiranya baginda memutuskan sesuatu yang bertentangan atau tidak selari dengan kehendak Kabinet yang dianggotai Takiyuddin sendiri.

“Sekiranya wujud kecenderungan ke arah itu, ia merupakan kesalahan jelas di sisi undang-undang dan kami gesa untuk Takiyuddin disiasat segera,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, Takiyuddin dalam kenyataan berkata, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Agong dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Beliau berkata, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong, tidak seharusnya timbul.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tan Sri Noh Omar menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu sebagai penghinaan terhadap jawatankuasa berkenaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menyifatkan ia mengelirukan sekali gus menimbulkan beberapa persoalan termasuk apakah fungsi jawatankuasa menasihati tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambil-alih oleh Jemaah Menteri.

Susulan itu, Takiyuddin semalam menerusi satu lagi kenyataan menjelaskan kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Beliau menjelaskan, kenyataannya kelmarin berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang terhadap pengisytiharan darurat dilihat dipetik di luar konteks sebenar.

“Justeru, saya mengulangi komitmen dan jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuhnya kerjasama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here