PM perlu beri jaminan peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat – Kit Siang

0
2

KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menjelaskan mengenai isu Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat diteruskan atau sebaliknya, masih tidak memadai.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat penjelasan itu perlu disusuli dengan penegasan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada Kabinet atau Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sahaja berperanan menasihati Agong berhubung darurat yang dijadual berakhir 1 Ogos ini.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, dalam kenyataan terbaharunya Takiyuddin hanya menyatakan kerajaan tidak mencampuri urusan jawatankuasa khas itu, namun tidak menegaskan yang hanya jawatankuasa itu berperanan memberi cadangan kepada Agong.

“Walaupun Takiyuddin sudah memperbetulkan berhubung kenyataan Kabinet menasihati Agong bagi melanjutkan atau tidak darurat, ia tidak memadai tanpa penegasan Perdana Menteri yang masih berdiam diri sama ada jawatankuasa khas satu-satunya badan berwibawa yang bertanggungjawab menasihati Agong, bukannya mana-mana menteri dilantik atau Kabinet.

“Saya akan menasihatkan semua 19 ahli jawatankuasa khas terbabit yang diketuai Tun Ariffin Zakaria (bekas Ketua Hakim Negara) supaya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mendapatkan jaminan bahawa jawatankuasa khas itu yang akan menasihati Agong mengenai darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, isu itu perlu dijelaskan segera supaya tidak mejadi masalah kepada isu utama menangani Covid-19 yang ketika ini kebanyakan keputusan dibuat kerajaan mengelirukan dan bersifat pilih kasih.

Kit Siang berkata, berdasarkan pemahamannya terhadap kenyataan Takiyuddin sebelum ini, penentuan berhubung darurat adalah atas pandangan Kabinet dan bukannya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

“Berdasarkan apa dinyatakan Takiyuddin sebelum ini iaitu sama ada jawatankuasa khas memberi cadangan atau tidak berhubung tempoh darurat, ia tidak penting dan tidak relevan kerana pandangan Kabinet atau menteri yang dilantik akan menjadi penentu dalam isu itu.

“Jika Muhyiddin tidak bersedia memberi jaminan kepada jawatankuasa khas dalam memberi nasihat kepada Agong berhubung isu ini, maka lebih baik jawatankuasa khas ini dibubarkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here