PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa tidak berbincang dengan pemimpin lain dalam parti itu sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Jumaat lalu.
Tindakan itu dilihat seolah-olah hanya membawa agenda peribadi dan keputusan yang dipersembahkan kepada Agong tidak semestinya mewakili pendirian sesebuah parti.
Perkara itu dibidas oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang berpendapat tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membelakangkan Ahli Parlimen Umno yang lain adalah tidak wajar.
Menurutnya, Ahmad Zahid tidak pernah memanggilnya atau mana-mana Ahli Parlimen Umno lain untuk dirunding terlebih dahulu dan duduk semeja bagi membincangkan berhubung hala tuju yang ingin dipersembahkan kepada Agong.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Umno saya tidak pernah dirunding macam sekarang, kata nak jumpa Agong atau apa sahaja sepatutnya kita duduklah berbincang nak hala tuju… ini tidak,” katanya seperti dilaporkan Agenda Daily.
Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno mempersoalkan tindakan Presiden Umno itu yang tidak memanggil Ahli Parlimen Umno untuk berbincang walaupun jemputan menghadap Tuanku diketahui umum dan sebaliknya membuat keputusan secara bersendirian.
“Kena panggil kita, mana boleh buat keputusan sorang-sorang, dia sekarang ini kena panggil Ahli Parlimen… kenapa takut nak panggil.
“Panggil bincang ini waktunya Zahid tak pernah panggil kita dengar Tuanku hendak jumpa ketua parti tapi dia tak pernah panggil kita nak tanya apa yang patut dibuat,” katanya.
Ahmad Zahid selepas pertemuan menghadap Agong pada Jumaat lalu berkata, Umno mengambil pendirian agar darurat yang sedang berkuat kuasa sekarang ditamatkan selepas 1 Ogos dan sidang Parlimen dapat diteruskan seperti biasa.
Bagaimanapun, Nazri menyifatkan keputusan tersebut dibuat secara bersendirian oleh Ahmad Zahid dan menegaskan pandangan peribadi tidak semestinya mewakili pendirian sesebuah parti, malahan sebarang ketetapan perlu melibatkan semua pihak.
“Jadi sekarang ini Presiden bertindak sendirian… saya tak dipanggil, dia tak boleh buat pendirian sendiri… pandangan dia tak mewakili parti… tak boleh dia kena panggil kita,” katanya. – Malaysiapost

