Gerakan kumpul SD ahli parlimen, tubuh kerajaan baru sedang berjalan

0
2

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad mendakwa terdapat ura-ura wujud gerakan tertentu yang kini mengumpul akuan bersumpah (SD) di kalangan Ahli Parlimen untuk menubuhkan satu lagi kerajaan baharu.

Beliau berkata, gerakan itu membabitkan dua pihak iaitu Pakatan Harapan (PH) dan satu lagi daripada Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) dengan kombinasi Menteri Umno dan Bersatu.

“Satu oleh pihak PH yang hendak kembali tubuh kerajaan baru tapi dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Satu lagi oleh ahli Jemaah Menteri PN dengan kombinasi menteri Umno dan Bersatu yang tak ori. Tapi bukan dengan restu Umno,” katanya dalam hantaran Facebook.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata, Umno tidak akan bermain ‘khianat politik’ selain sudah memutuskan untuk tidak bersama PN dan Bersatu selepas tamat darurat dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“SD lagi! Takkanlah negara dan rakyat nak lihat suatu lagi PM baru. Iaitu yang ketiga semenjak Barisan Nasional (BN) ditumbangkan pada PRU14. Sudah jadi Politik Kerusi Berirama!

“Betullah cakap Tun Musa Hitam, kerajaan PN macam ‘kerajaan main masak-masak’, tapi tak pandai masak kerana masakan tak sedap kerana campur ramuan yang tak kena,” katanya.

Terdahulu, Shahrir mengulas mengenai dakwaan kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung wujud gerakan khianat dalam PN.

Shahrir berkata, sekiranya kenyataan itu benar ia disifatkan ‘sungguh menarik’ kerana apa yang disuarakan adalah mengenai gerakaan khianat dalam PN untuk ‘cuba menumbangkan Perdana Menteri’ dengan mengumpul SD Ahli Parlimen.

“Tajuk kenyataan pun ‘Hentikan Politik Khianat Sesama Perikatan Nasional’. Kalau sesama PN, ia hanya libatkan dalaman Bersatu dan PAS sahaja. Umno tidak berada dalam PN.

“PAS ke? Walaupun PAS boleh berdolak-dalik, terutama SUA nya yang boleh beralih dari ‘sains dan data’ kepada ‘mengalihkan tiang gol’ sehingga ‘mengubah peraturan permainan bola’ ditengah-tengah permainan untuk bantu referee buat keputusan, tapi pengkhianatan politik tak mungkin,” katanya.

Beliau berkata, ini bermakna dakwaan gerakan itu adalah dalam Bersatu kerana sebahagian besar ahli parti itu adalah mereka yang mengkhianati parti asal masing-masing.

“Yang ori Bersatu tak ramai. Yang ramai semuanya pengkhianat. Jadi kalau dah ramai dalam Bersatu sudah biasa mengkhianati, apa yang Ketua Armada Bersatu nak terperanjat sangat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here