PESAKIT berusia 21 tahun antara golongan muda yang meninggal dunia akibat Covid-19 seperti yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
KKM menerusi kenyataannya berkata, lelaki warganegara itu meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi serta pendarahan otak.
Selain itu, terdapat kes pesakit berusia 28 tahun meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras namun tidak dinyatakan sebarang sejarah penyakit.
Satu lagi kes membabitkan pesakit berusia 34 tahun meninggal dunia di Hospital Labuan dan mempunyai sejarah penyakit asma, diikuti kes pesakit berusia 32 tahun meninggal di Hospital Sarikei, Sarawak yang mengalami obesiti.
Tambah kenyataan itu, terdapat kes pesakit berusia 38 tahun meninggal dunia di Hospital Miri dan menghidap kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan obesiti.
Terdahulu, sebanyak 64 kes kematian dilaporkan pada hari ini yang melibatkan 15 kes di Selangor, 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tujuh kes di Johor, enam kes di Kedah.
Seterusnya, masing-masing lima kes di Negeri Sembilan dan Pahang, empat kes di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, dua kes di Sabah dan Kelantan serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Terengganu. – Malaysiapost

