Bapa bayi tertukar buat laporan polis

0
2

SUAMI kepada usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin atau dikenali sebagai Siti Jamumall, membuat laporan polis pagi tadi berhubung kejadian bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi lain di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata menurut laporan yang dibuat, suami wanita itu, Mohammad Syafiq Irfan Azman, 23, menyedari tanda nama pada kaki bayi itu bukan nama isterinya.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ada menerima laporan polis hari ini mengenai tertukar bayi dan kes ini diklasifikasi sebagai ‘Rujuk Majistret’.

“Laporan dibuat oleh bapa bayi itu pada jam 9 pagi tadi. Menurut laporannya, ketika dia hendak gunting tag pada bayi itu, dia menyedari nama ibu pada tag berkenaan bukan nama isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan memanggil pihak hospital swasta terbabit untuk diambil keterangan.

Namun, jelasnya, pihak polis akan membuat semakan dari sudut perundangan, sama ada terdapat kesalahan lain.

Terdahulu, Siti Jamumall berkongsikan perkara berkenaan melalui Facebook (FB) Live bermula jam 7.40 malam semalam.

Katanya, dia melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi Jumaat dan pihak hospital semalam membenarkan beliau serta bayinya pulang ke rumah.

Namun, dia menyedari bayi itu bukan anaknya ketika suami mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu dan mendapati anak tersebut milik wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/13/siti-jamumall-cemas-bayi-tertukar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here