“Tiada siapa yang alih tiang gol, yang dibuat adalah betulkan Peraturan Permainan supaya membantu pengadil buat pengadilan yang betul,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin menerusi ciapan di Twitternya, membalas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menegurnya, membuat kenyataan mengelirukan berhubung keputusan melanjutkan tempoh darurat.
Katanya, untuk mencapai sesuatu matlamat tidak bermakna perlu mengubahnya.
Semalam, Azalina mempersoalkan kenyataan Takiyuddin bahawa Kabinet yang akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada darurat yang tamat pada 1 Ogos ini dilanjutkan atau tidak.
“Sekiranya demikian, apa gunanya membentuk Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati YDPA (Yang di-Pertuan Agong) berdasarkan Bahagian 2 (1) Ordinan Darurat 2021? Stop shifting the goal post (berhenti daripada menukar undang-undang atau situasi),” kata Azalina menerusi Twitter.
Takiyuddin sebelum ini menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kabinet untuk menasihati Agong mengenai tempoh darurat sebagai maklum balas kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/12/azalina-tegur-takiyuddin-apa-guna-bentuk-jawatankuasa-khas-bebas-darurat/

