Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

0
2

MALAYSIA tidak menghantar jemaah bagi musim haji tahun ini susulan keputusan Arab Saudi mengehadkannya hanya untuk warganegara sahaja dan penduduk dari negara lain sudah berada dalam negara itu sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya akur dengan keputusan itu namun akan memastikan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

“Saya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji bagi musim haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji selaras prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan.

Dr Zulkifli mengesahkan perkara tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman berkenaan keputusan kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi musim haji 1442H.

Beliau juga memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan perkembangan itu dan mendoakan agar pandemik Covid-19 segera berakhir supaya umat Islam dapat kembali ke tanah suci pada masa depan.

“Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat,” ujarnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here