MAJLIS Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh kenyataan Majlis Presiden PH, menolak cadangan mewujudkan sebuah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sebagai jalan keluar mendepani pandemik Covid-19.
Menerusi kenyataan bersama, Pemuda PH berpendapat jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 ialah dengan mengembalikan semula hak demokrasi berparlimen.
Pemuda PH berkata, ia bagi memastikan supaya badan legislatif dapat berfungsi dan semak imbang dapat dilakukan.
“Banyak kebobrokan yang berlaku dalam perancangan kerajaan untuk menghadapi era pandemik ini. Dengan ketiadaan semak imbang daripada pihak legislatif, negara kita dipandu tanpa halatuju yang jelas,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Pemuda PH merangkap Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan Ketua AMK, Akmal Nasir.
Mereka turut menyanggah sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Dalam Negeri berkenaan pencapaian imuniti kelompok sebagai pra-syarat kepada pengembalian persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Imuniti kelompok bermaksud 80% – 90% keseluruhan Rakyat Malaysia. Namun, objektif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini hanya memberi tumpuan kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas.
“Jadi, sekitar 28% daripada keseluruhan populasi Malaysia adalah daripada golong umur 17 ke bawah. Adakah ini semata-mata alasan untuk menidakkan persidangan parlimen?
“Mengapa kerajaan tidak memutuskan supaya semua kakitangan parlimen dan yang bakal bertugas di parlimen menerima vaksin?,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Pemuda PH meminta kerajaan mempercepatkan usaha vaksinasi kepada rakyat dengan menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut lokaliti dan juga mewujudkan unit vaksinasi bergerak.
“Kita tidak memerlukan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega atau berskala besar.
“Disamping dapat menjimatkan kos, kita juga dapat mempertingkatkan daya vaksinasi per harian supaya imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin.
“Matlamat strategik program Vaksin haruslah berasaskan pembawaan vaksin kepada rakyat, dan bukannya bergantung kepada rakyat menantikan dan memburu vaksin,” ujarnya.
Pemuda PH juga meminta kerajaan memulihkan ekonomi rakyat terutama dalam pemberian moratorium automatik.
“Merujuk kepada pengumuman Pemerkasa Plus yang diumumkan awal bulan yang lalu, kami berpendapat bahawa pakej bantuan itu tidak benar-benar membantu. Pakej bantuan “one-off” ini hanyalah perancangan jangka pendek.
“Jadi, kami juga menuntut supaya moratorium diberikan secara automatik seperti mana yang dilaksanakan pada PKP 1.0. Merujuk kepada laporan-laporan kewangan industri perbankan, jelas bahawa pelaksanaan moratorium ini tidak langsung merugikan pihak bank,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Pemuda PH menggesa Parlimen dapat bersidang bagi membincangkan langkah penyelesaian cabaran semasa dan menggembleng seluruh tenaga memenangi perang ini.
“Biarlah Parlimen menentukan siapa yang patut memegang amanah mentadbir negara memimpin rakyat, dan siapa yang tidak layak berada di tampuk kuasa.
“Biarlah rakyat diyakinkan kembali bahawa politik dan pemerintahan merupakan beban kuasa membela kesejahteraan rakyat, dan bukannya salah guna kuasa memperkayakan diri dengan memijak rakyat,” katanya. – Malaysiapost

