Cadang ubah sistem pendidikan berasaskan gred

0
2
sekolah spm school

KERAJAAN disaran mengubah sistem pendidikan negara berasaskan gred kerana kaedah itu didakwa gagal melahirkan bakat sesuai dengan keperluan ekonomi semasa dan masa depan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali, berkata sistem pendidikan berasaskan gred menyebabkan semua pihak terperangkap dengan pendekatan bahawa gred yang lebih baik bererti individu itu memberikan prestasi yang baik.

Katanya, keadaan itu tidak betul apabila ramai yang cuba mengejar untuk mendapat gred A sahaja sekali gus menunjukkan sistem pendidikan ini gagal melahirkan bakat yang diperlukan.

“Dari peringkat sekolah, guru, ibu bapa, penaja dan pelajar, menjadikan pencapaian gred sebagai penanda aras kejayaan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, jika menggunakan penanda aras sedemikian, sekolah yang mendapat gred baik akan sentiasa berada di kedudukan terbaik dan ia jelas salah dan mengelirukan.

Beliau berkata, untuk menjadi sekolah terbaik sudah pasti pihak sekolah akan terus berusaha memastikan mendapat gred yang baik, namun bagaimana pula dengan sekolah yang berada di kedudukan bawah.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan tujuan asal sebenar persekolahan jelas sudah tidak sama, selain menjelaskan beliau sudah lama membantah mengenai perkara ini.

“Saya bukan bimbang mengapa ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mendapat gred yang baik walaupun tidak ke sekolah akibat Covid-19.

“Namun, saya sangat risau apabila YB Menteri membuat kesimpulan bahawa pencapaian pendidikan kita semakin baik dan terbaik sejak 2016 serta berada di landasan yang betul.

“Tetapi semua kajian, laporan yang menilai bakat Malaysia yang saya baca menunjuk kita ke arah kemahiran yang lebih rendah, kurang berbakat, tingkah laku bermasalah, kekurangan kemahiran digital, tidak dapat mengambil risiko secara sistematik dan kemahiran komunikasi yang lemah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ini sekali gus menunjukkan sistem pendidikan negara bermasalah.

“Saya keliru apabila YB Menteri memberi tabik hormat kepada pelajar berdasarkan pencapaian gred dan memberi isyarat ‘kalian semua hebat’.

“Ini adalah isyarat palsu. Pendidikan jauh melebihi gred di atas kertas. Ia mengenai watak, sikap, keinginan untuk unggul, kemampuan inovatif, budaya keusahawanan, kesediaan untuk menghadapi realiti kehidupan.

“Justeru, saya meminta perubahan sistem bukan kaedah penilaian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here