Lelaki pukul isteri hamil hingga koma ditahan

0
1

SEORANG lelaki yang memukul isterinya yang sedang hamil sehingga koma bulan lalu ditahan polis di Kuala Lumpur semalam.

Suspek ditahan semasa keluar membeli makanan dengan menunggang motosikal di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (JBS) Johor Bahru Selatan untuk proses tahanan reman.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata pihaknya sedang menguruskan proses penahanan reman suspek yang berusia 38 tahun itu.

“Tempoh reman akan diberitahu selepas proses reman diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tangkapan ke atas suspek adalah hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, semasa tangkapan dibuat, suspek turut bertindak agresif apabila melanggar motosikal yang ditunggang anggota polis.

Sebelum ini, Jahidah Nordin, 43, yang sedang hamil empat minggu parah selepas disyaki dipukul suspek pada 4 Mei lalu.

Wanita itu yang merupakan kakitangan kerajaan kemudian ditempatkan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Kejadian yang menimpa wanita itu menjadi tular selepas adik mangsa, Fazariah Nordin memuat naik keadaan kakaknya dalam laman sosial. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/10/04/angkara-cemburu-suami-belasah-isteri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here