DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menafikan pihaknya mengamal dasar pilih kasih dalam membenarkan aktiviti perniagaan beroperasi di ibu kota sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, sebarang kebenaran untuk perniagaan beroperasi tertakluk kepada keputusan dan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi ialah pasar borong, pusat penjaja, pasar berbangunan/berbumbung, gerai tepi jalan, bazaria, kios/gerai berkunci, trak makanan, penjaja beredar, permit sementara, lesen waktu terhad dan lesen sementara KL Prihatin.
“Pasar pagi terbuka adalah sama seperti pasar malam/pasar tani yang tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sehingga kini, DBKL sudah membuat pemantauan di lokasi itu dan sejumlah 22 notis kompaun dikeluarkan terhadap premis yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa wujud layanan dua darjat oleh DBKL dalam membenarkan pasar beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Beliau berkata demikian selepas menerima aduan penjaja pasar pagi terbuka diarahkan untuk menghentikan operasi dalam tempoh berkenaan. – Malaysiapost
