SERAMAI 35 individu ditahan selepas terbabit parti liar dalam serbuan di residensi mewah di Jalan Conlay di Kuala Lumpur, malam tadi.
Serbuan dilakukan pada jam 11 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menyerbu empat unit bilik di tingkat 12 serta 14 residensi berkenaan.
Timbalan Ketua JSJ Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai penganjuran parti liar itu.
“Ketika serbuan dijalankan serentak ke atas empat bilik itu, semua individu terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita tempatan, lima wanita warga Vietnam, seorang wanita warga Thailand serta dua lelaki warga China, sedang leka berhibur dengan alunan muzik yang kuat.
“Malah selain khayal disyaki mengambil minuman bercampur dadah, ada antara mereka yang berjudi dan mengadakan seks bebas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas 20 botol minuman jus buah disyaki mengandungi dadah, dua kotak kondom, set daun terup dan mangkuk berisi buah dadu, serta peralatan sistem audio dan lampu disko.
“Siasatan awal mendapati mereka menempah empat bilik itu selama dua malam sejak petang semalam (Jumaat) hingga Ahad untuk berparti.
“Individu berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit kegiatan pelacuran, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 4(1) Akta Hiburan dan Akta Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, individu terbabit turut dikenakan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Malaysiapost

