8 lagi rumah kumpulan Abu Sayyaf dibakar

0
2

POLIS memusnahkan lapan lagi rumah berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort di Sabah yang digunakan sebagai tempat persembunyian kumpulan Abu Sayyaf hari ini.

Operasi khas pemusnahan itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dengan kerjasama Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Secara keseluruhan setakat ini dua operasi pemusnahan rumah kumpulan pengganas terbabit dengan 14 buah rumah sudah dimusnahkan di mana operasi pertama enam rumah dimusnahkan pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata operasi memusnahkan kawasan persembunyian berkenaan bagi menghapuskan sarang penempatan kumpulan militan itu sepenuhnya.

“Rumah yang dimusnahkan ini dipercayai menjadi tempat persembunyian dengan menempatkan 38 orang.

“Rumah ini dibina mengikut kepada teknik perang gerila yang sukar dikesan walaupun menerusi pemantauan udara,” katanya seperti dilaporkan Asia Times.

Yusoff Zaki berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung ahli militan Abu Sayyaf diminta tampil membantu demi menjaga keselamatan negara.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun, berkata pihaknya akan terus menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu menghapuskan kawasan persembunyian kumpulan militan berkenaan.

“Ini adalah tindakan drastik dan amat baik untuk menangani kemasukan mereka, InsyaAllah kita akan teruskan tindakan ini untuk menghapuskan saki baki persembunyian kumpulan Abu Sayyaf,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here