Sindrom Post Covid menghantui bekas pesakit – Dr Noor Hisham

0
2

BEKAS pesakit Covid-19 yang masih mempunyai gejala, digesa mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran bagi mengekalkan tahap kesihatan serta mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ‘The National Institute for Health and Care Excellence’ (NICE), United Kingdom telah mengeluarkan garis panduan mengenai Long Covid atau dikenali sebagai Sindrom Post Covid.

Menurutnya, sindrom itu adalah satu keadaan di mana bekas pesakit masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan ia tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.

Beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.

“Secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya, namun terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post Covid.

“Menurut kajian klinikal yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan 1,004 pesakit dari kategori empat dan lima yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus pesakit itu mengalami Sindrom Post Covid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara lima simptom yang kerap dialami bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.

“Sehingga kini, rawatan ditawarkan adalah berdasarkan simptom dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat selain rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum.

“Kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenalpasti kesan Sindrom Post Covid dan ia akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau mengingatkan semua pesakit Covid-19 yang telah dibenarkan keluar hospital supaya menghadiri janji temu rawatan susulan mengikut tarikh ditetapkan.

“Adalah amat penting menjaga diri dan ahli keluarga supaya kekal terlindung daripada bahaya Covid-19 serta mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar dapat mengurangkan risiko dijangkiti.

“Ini kerana kesannya boleh berpanjangan dan mengurangkan kualiti hidup serta produktiviti seseorang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here