
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 19 daripada 21 Mukim dalam daerah Kuala Terengganu, ditamatkan esok kecuali Mukim Bukit Besar dan Serada.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di 21 Mukim dalam daerah Kuala Terengganu, yang dijadualkan tamat esok.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 461 kes positif Covid-19 di semua mukim dan pada masa sama, terdapat penurunan kes kecuali melibatkan dua mukim tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di 19 mukim tersebut esok.
“PKPD bagi dua mukim iaitu Mukim Bukit Besar dan Serada pula dilanjutkan bermula 13 Jun sehingga 26 Jun 2021.
“Keputusan melanjutkan PKPD di dua mukim itu dibuat setelah KKM mendapati masih terdapat peningkatan ketara kes hasil saringan bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD 11 lagi lokaliti membabitkan empat negeri iaitu Selangor, Sarawak, Johor dan Sabah bermula jam 11.59 malam 12 Jun ini.
Lokaliti berkenaan adalah tiga taman perumahan di Sabak Bernam, Selangor iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.
Di Sarawak membabitkan empat rumah panjang di Ulu Sungai Sebakong iaitu Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang.
Di Johor pula membabitkan Taman Sinar Harapan, Tampoi, Johor Bahru, manakala di Sabah membabitkan tiga lokaliti di Kampung Pasir Putih Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan lima lokaliti membabitkan Kedah dan Sabah dikenakan PKPD bermula 13 hingga 26 Jun.
Lokaliti itu adalah Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah selepas KKM mendapati berlaku peningkatan kes apabila 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti tersebut.
Sabah pula membabitkan PKPD di Kampung Kadazan, Tawau, dengan 14 kes positif dilaporkan dan dua perkampungan di Kota Kinabalu iaitu Kampung Lobou 1 serta Kampung Bukit Permai dengan 15 kes telah dikesan, manakala satu lagi lokaliti adalah Taman Villa Felca Nambazan, Penampang membabitkan lapan kes positif. – Malaysiapost
