KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bersetuju untuk menambahbaik syarat-syarat kelayakan bagi memastikan lebih banyak golongan sasar dapat menerima manfaat di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
MOTAC dalam kenyataan berkata, pihaknya berharap dengan penambahbaikan syarat kelayakan PEMERKASA, lebih banyak Syarikat Pengendali Pelancongan dapat tampil dan mengemukakan permohonan untuk menerima bantuan kewangan yang disediakan.
Kenyataan itu berkata, Bantuan Khas RM3,000 kepada syarikat pengendali pelancongan di bawah inisiatif PEMERKASA yang diumumkan kerajaan pada 17 Mac lalu telah membantu meringankan beban syarikat yang terkesan dengan wabak Covid-19.
Menurut MOTAC, sehingga kini, sebanyak 2,568 buah Syarikat Pengendali Pelancongan telah menerima bantuan kewangan ini yang melibatkan penyaluran bantuan kewangan berjumlah RM7.704 juta.
“Walau bagaimanapun, disebabkan masih ramai lagi yang belum menerima manfaat daripada bantuan kewangan yang disediakan, pihak kerajaaan melalui MOTAC telah bersetuju untuk menambahbaik syarat-syarat kelayakan bagi memastikan lebih banyak golongan sasar dapat menerima manfaat.
“MOTAC berharap dengan penambahbaikan syarat kelayakan PEMERKASA ini, lebih banyak Syarikat Pengendali Pelancongan dapat tampil dan mengemukakan permohonan untuk menerima bantuan kewangan yang disediakan,” katanya kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, MOTAC menyeru kepada Syarikat Pengendali Pelancongan untuk mengambil peluang yang ditawarkan tersebut dengan sebaiknya.
Tambahnya, untuk maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan PEMERKASA 2021 bagi Syarikat Pengendali Pelancongan yang berlesen di bawah MOTAC, boleh layari laman sesawang http://www.motac.gov.my/PemerkasaMotac2021.
Sementara itu, tarikh tutup permohonan bagi inisiatif ini telah ditetapkan sehingga 15 Julai 2021 dan sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan. – Malaysiapost

