Nurul Huda Abhar
PENYATUAN Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sukar jika parti pimpinan Tan Sr Muhyiddin Yassin itu membuka keahliannya kepada bukan Bumiputera seperti dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada awal penubuhan PKR ia dinamakan Parti Keadilan, tetapi selepas bergabung dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), ia membuka keahlian kepada pelbagai kaum.
Katanya, mereka mudah bercantum kerana corak keahliannya sama, sedangkan PKR tidak mungkin sama sekali Bersatu dengan Umno kerana keahliannya berbeza.
“Bersatu juga tidak mungkin bercantum dengan Umno menggunakan model PKR, sebaliknya, parti itu boleh Bersatu dengan PKR kerana corak keahliannya sama.
“Mungkin inilah hasrat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kawan-kawannya dari serpihan PKR apabila menyertai Bersatu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai gesaan Tengku Razaleigh Hamzah kepada pemimpin Umno supaya berundur diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Shabery berpendapat, itu mungkin gambaran pengalamannya ketika dalam Parti Semangat 46 (S46).
Tambah beliau, kunci utama untuk penyatuan dua parti Melayu adalah pada keahliannya, sama seperti Umno dan S46 yang bersatu kembali atas dasar keahliannya yang sama iaitu Melayu dan Bumiputera.
“Dulu orang S46 pun menentang Umno kerana tak setuju dengan kepimpinan Umno ketika itu. Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan lain-lain.
“Cerita pun hampir sama, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Konflik berlaku. Yang kuat menyahkan yang lemah. Maka, tertubuhlah parti baru. Itu sejarah.
“Namun bagi yang berjiwa besar, mereka tetap mahu Melayu bersatu. Waktu panas semuanya tak kena. Bila sejuk berundinglah balik,” katanya lagi.
Untuk rekod, Parti Semangat 46 adalah sebuah parti politik serpihan Umno yang ditubuhkan pada tahun 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh menentang Tun Dr Mahathir.
Maksud “Semangat 46” ialah meneruskan semangat penubuhan Umno pada tahun 1946 bersama Datuk Seri Rais Yatim, manakala Tun Dr Mathatdir menubuhkan Umno Baru ketika itu untuk menggantikan Umno lama yang diharamkan oleh mahkamah.
Namun begitu, S46 dibubarkan pada Mei 1996 selepas Tengku Razaleigh dan Rais Yatim menyertai Umno Baru. – Malaysiapost

