Lesen penjaja Program Wilayah Bebas Berniaga dilanjut

0
2

TEMPOH lesen sementara kira-kira 4,500 penjaja di ibu negara yang dijadualkan tamat 31 Julai ini dilanjutkan hingga akhir tahun di bawah Program Wilayah Bebas Berniaga, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu dibuat bagi meringankan beban peniaga berkenaan yang pastinya terkesan akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, program itu sepatutnya tamat 15 April lalu namun dilanjutkan hingga hujung Julai.

“Pada masa ini ada hampir 8,000 penjaja yang memulakan perniagaan di bawah Program Wilayah Bebas Berniaga dan 4,500 daripadanya telah diberikan lesen prihatin atau lesen sementara yang mana tempoh tamat sepatutnya pada 15 April lalu sebelum dilanjutkan hingga akhir Julai.

“Namun apabila saya meninjau dan mendapat maklum balas termasuk daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kebetulan kita sekali lagi berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang saya faham sedikit sebanyak kehidupan warga kota terutama penjaja sudah tentu terjejas.

“Saya ingin memaklumkan satu keputusan sebagai galakan seterusnya Program Wilayah Bebas Berniaga ini akan dilanjutkan hingga hujung tahun supaya penjaja tidak tertanya-tanya dan boleh merancang untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka,” katanya yang turut meninjau operasi penjaja di sekitar ibu negara hari ini.

Menurutnya, penjaja hanya perlu memasukkan data secara dalam talian dan akan disambung secara automatik.

“Mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, tak payah bayar lesen, tapak dan lesen percuma dan boleh terus berniaga di bawah program ini sampai akhir tahun,” katanya.

Annuar turut mengumumkan diskaun 50 peratus kepada lebih 5,000 peniaga yang menyewa premis perniagaan seliaan DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan serta lesen percuma untuk peniaga di bawah program Usahawan Anak Muda Kota sehingga akhir tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here