
PENGUSAHA perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan digalakkan beralih ke platform industri e-dagang yang menawarkan potensi lebih besar dan menjimatkan masa, tenaga serta modal.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perubahan itu perlu agar selari dengan perubahan dan peningkatan kemudahan teknologi semasa.
“Seperti yang kita tahu, kaedah perniagaan dulu lain, sekarang lain. Ya, betul tu.
“Ini kerana, negara kini semakin berubah dengan peningkatan kemudahan teknologi yang membolehkan usahawan beralih ke arah digital.
“Terutamanya kepada PKS tempatan. Saya amat menggalakkan anda semua untuk beralih ke platform e-dagang, yang mana akan menjimatkan masa, tenaga dan modal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga menerusi inisiatif MyDigital, mengalu-alukan lebih ramai memanfaatkan e-dagang kerana bertepatan situasi semasa berikutan pergerakan ekonomi dan sosial terhad bagi mengelakkan penularan Covid-19.
“Oleh itu, segera beralih ke e-dagang demi menjamin kelangsungan ekonomi anda,” katanya. – Malaysiapost
