Pemuda PN akui harga minyak masak naik, mohon kerajaan selaraskan harga

0
2
Minyak-minyak masak yang dijual dalam bentuk botol dan paket ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mengakui memang berlaku peningkatan harga minyak masak di pasaran ketika ini.

Ketuanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata hasil tinjauan pihaknya minggu lalu, harga minyak masak 5 kilogram
(kg) adalah sekitar RM25-RM28, namun minggu ini harganya mencecah RM32-RM36.

Beliau berkata, memahami minyak masak antara keperluan utama isi rumah
dan peniaga makanan, Pemuda PN telah mengadakan perbincangan dalaman dan
mengemukakan kepada pihak berwajib cadangan-cadangan seperti berikut:

  1. Memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas pada peniaga yang menaikkan harga.
  2. Mencadangkan kerajaan menawarkan formula baharu untuk subsidi minyak masak 5 kilogram (kg) dan ke atas
  3. Memperkenalkan subsidi bertempoh selama 3 ke 6 bulan untuk minyak masak 5kg
  4. Menambah kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi 1kg dari 60,000 tan sebulan sekarang.
  5. Menggesa KPDHEP menetapkan harga minyak masak dalam pasaran.
  6. Menggesa KPDNHEP menjalankan operasi pemeriksaan anti pencatuan secara besar-besaran ke atas premis yang menyembunyikan minyak masak untuk menaikkan harga.
  7. Memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan operasi mencegah penyeludupan minyak masak yang menyebabkan berlakunya ketirisan bekalan tempatan.
  8. Memohon kerajaan menstabilkan bekalan dalam negara dengan menyeimbangkan peratusan eksport dan keperluan bekalan minyak masak dalam negara.
  9. Menggesa solusi jangka panjang seperti pengurangan kos pembotolan antara yang menyumbang harga tinggi kepada bekalan minyak 5Kg ke atas, alternatif kepada kaedah pembotolan minyak untuk kawal harga perlu difikirkan.

Khairil Nizam berkata Pemuda PN akan membawa semua cadangan itu kepada kementerian terbabit dalam tempoh segera supaya isu kebajikan rakyat sentiasa menjadi teras utama fokus pentadbiran negara.

“Pemuda PN juga mengajak pengguna menggunakan kuasa beli untuk memberi tekanan kepada pengeluar supaya dapat menurunkan harga minyak masak dengan menurunkan tekanan permintaan bekalan untuk satu tempoh tertentu.

“Pemuda PN dan komponen akan menggerakkan ahli untuk menjadi mata dan telinga kepada KPDNHEP dan KDN untuk melapor semua aktiviti yang menjejaskan kepentingan penggunamelalui saluran-saluran yang disediakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here