Buka Parlimen: Terserah budi bicara, kebijaksanaan Agong – Mohamad Sabu

0
2

PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sama ada akan membuka semula Parlimen dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata beliau bagi pihak Amanah sudah menyatakan hasrat supaya persidangan Parlimen dibuka semula ketika majlis mengadap Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

“Saya minta supaya Parlimen dibuka semula, boleh bersidang seperti di United Kingdom. Di sana rakyat nak tahu apa kerajaan buat untuk tangani Covid-19 tapi di sini (Parlimen) tutup.

“Terserah kepada budi bicara dan kebijaksaaan baginda, Tuanku mendengar dengan teliti segala hujah kita,” katanya kepada media selepas selesai majlis mengadap.

Mohamad adalah pemimpin politik terakhir mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas mengenai perkara lain yang dibincangkan, Mohamad berkata ia lebih tertumpu kepada isu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Kita bincang (isu) rakyat sudah ada sampai ke peringkat pergi ke pusat khidmat parti ambil makanan. Pemandu Grab tiada penumpang, macam mana nak makan.

“Ertinya masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini sangat serius,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here