PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa keempat iaitu fasa kawalan wabak akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor ekonomi kritikal, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) membuat keputusan untuk memulakan pemberian vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal terutama bagi sektor yang perlu terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Penyelaras PICK itu berkata antara sektor yang terlibat adalah pembuatan, eksport, logistik pengangkutan, tenaga utiliti dan lain-lain.
“Sekarang ini pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi kerajaan lain untuk melaksanakan fasa empat bagi sektor-sektor ekonomi yang terkesan dan masih beroperasi sewaktu PKP.
“Kita akan bekerjasama dengan anak syarikat Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu syarikat yang tidak berasaskan keuntungan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd untuk mengendalikan suntikan vaksinasi kepada sektor industri ini bagi mempercepat pelaksanaan PICK dalam kalangan industri,” katanya dalam sidang media mingguan perkembangan PICK hari ini.
Turut sama dalam sidang media itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Mengenai kadar bayaran dikenakan kepada penerima vaksin dalam program vaksinasi industri, beliau menjelaskan ia adalah percuma dan pihak industri perlu membayar kos pengurusan pemberian vaksin berkenaan kepada ProtectHealth yang akan mengendalikan proses suntikan vaksinasi.
“Terdapat juga bayaran tambahan membabitkan kos sewaan premis dan kemudahan lain dan kos ini yang tidak tetap.
“CITF sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menetapkan kos yang munasabah dan tidak membebankan pihak industri,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: TW/Khairy Jamaluddin

