Feri Pulau Pinang diapung semula malam tadi

0
2

SEBUAH Feri Pulau Pinang yang bocor dan hampir tenggelam di Limbungan Bagan Dalam di negeri itu, telah diapungkan semula malam tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Perlabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata feri berkenaan berjaya diapungkan semula oleh pasukan pembaikan kira-kira jam 10 malam.

Namun katanya, pasukan pembaikan akan terus memberi perhatian dan pemeriksaan sepenuhnya keadaan feri dari semasa ke semasa untuk memastikan peristiwa sama tidak akan berulang.

“Sekiranya semua tindakan pembaikan telah siap dilaksanakan, feri akan ditempatkan di Tanjung City Marina dan akan diubah sebagai Muzium Terapung.

“Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih atas usaha dan tindakan profesional pasukan pembaikan SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, keadaan Feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam yang uzur dengan terdapat beberapa lubang kebocoran menyebabkan air masuk memenuhi bilik enjin, sekali gus condong ke dalam laut.

Susulan itu, SPPP dan PPSB mengambil tindakan sesuai bagi menangani masalah tersebut dengan segera bermula dengan mengepam air keluar bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dibuat.

Difahamkan feri tersebut tersadai sejak 2019 kerana sudah uzur dan telah lama tidak berkhidmat membawa penumpang atau kenderaan lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here