Program realiti hiburan: Tiada siapa terkecuali – Ismail Sabri

0
1
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media ketika melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan Wangsa Maju hari ini. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

MENTERI Kanan (Keselamatan),Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan tiada layanan dua darjat dan terkecuali kepada sesiapa yang terbukti melanggar operasi standard prosedur (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau memberi kenyataan itu susulan anak lelakinya, Gaddafi Ismail atau lebih dikenali sebagai Dafi terlibat dalam program realiti nyanyian menampilkan 50 juri dalam kalangan selebriti, baru-baru ini.

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) sedang menyiasat (perkara tersebut). Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

“Sesiapa sahaja yang melanggar SOP pasti akan diambil tindakan, walaupun anak saya,” katanya dipetik Malaysiakini hari ini.

Program disiarkan stesen televisyen Astro itu mengundang kecaman banyak pihak kerana didakwa melanggar SOP yang ditetapkan MKN.

Selain kehadiran 50 juri dalam satu ruang sama, program realiti All Together Now Malaysia dihujani kecaman netizen kerana mereka tidak memakai pelitup muka ketika program berlangsung.

Terdahulu MKN mengarahkan siasatan dilakukan ke atas rancangan hiburan terbabit susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Ketua Pengarah MKN, Datuk Mohd Rabin Basir dilaporkan berkata siasatan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan kementerian berkenaan sedang meneliti keseluruhan aspek rakaman program.

Menurutnya KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya jika mengenal pasti berlaku pelanggaran apa-apa SOP sepanjang rakaman program terbabit.

Rakaman musim pertama All Together Now Malaysia menampilkan 50 juri yang dilihat tidak memakai pelitup muka sepanjang rakaman dibuat.

Mohd Rabin menjelaskan tindakan penguatkuasaan masih boleh diambil jika berlaku ketidakpatuhan SOP, walaupun rakaman program sudah selesai.

Pihak penerbitan rancangan itu kemudian memutuskan untuk menghentikan sementara program berkenaan sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlakunya pelanggaran SOP selesai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here