Pemimpin politik menghadap Agong, berita baik buat rakyat

0
2
Datuk Razlan Rafii

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii menzahirkan rasa syukur sekiranya benar Istana Negara akan memanggil pemimpin politik untuk mendapatkan pandangan dan penyelesaian berhubung isu Covid-19.

Beliau berkata, ia disifatkan sebagai berita baik untuk rakyat jelata yang menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong.

“Bukan saja kepada saya seorang tetapi seluruh rakyat akan bersyukur sekiranya Istana Negara mula mengambil beberapa tindakan menyelesaikan kepincangan di peringkat pentadbiran negara terutamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh itu berkata, beliau percaya banyak rungutan rakyat dapat disampaikan dalam pertemun itu nanti.

“Rungutan itu berkenaan kaedah dan sistem pentadbiran kerajaan yang tidak efisyen, kegagalan mengotakan janji-janji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Serta sikap Menteri yang tidak bertanggungjawab dengan membenarkan pengoperasian sektor perkilangan sehingga mewujudkan pelbagai kluster baru di tempat kerja dan kerajaan yang dilihat hanya berkomunikasi sehala saja tanpa mendengar kembali keluh kesah rakyat.

“Ditambah lagi dengan sikap Menteri dan Kementerian yang gagal berperanan sepenuhnya sepanjang tempoh PKP ini. Nasib rakyat kian tidak terbela dengan pelbagai kenyataan yang menggusarkan rakyat serta mendakwa rakyat yang menyuarakan pendapat secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, ia jelas membuktikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk memastikan barisan kabinetnya untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Katanya, segala kekhuatiran dan teguran yang dibuat demi kebaikan rakyat, tidak lagi diperjuangkan.

“Sebaliknya rakyat dihidangkan dengan amaran demi amaran supaya rakyat takut dengan tindakan penguatkuasaan kerajaan namun segala perkara ini tidak terpakai kepada mereka yang bersekutu dengan Perdana Menteri.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya menjadi tempat rujukan dan perkongsian idea demi kebaikan bersama.

“Tetapi hari ini menjadi kerajaan yang tidak mesra rakyat. Akhirnya rakyat terpaksa mengetuk pintu Istana bagi mendapatkan perhatian. Yang di-Pertuan Agong adalah tempat rakyat bernaung dari segala kepincangan dan ketidakadilan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here