MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden pelanggaran Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.
Ka Siong berkata, satu sesi pembentangan laporan secara maya telah disampaikan kepada beliau oleh Jawatankuasa Siasatan.
“Saya berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya, dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ka Siong turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras dan bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya.
Pasukan jawatankuasa itu juga, katanya membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temusiasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan.
“Saya berharap dapat membentangkan dapatan laporan ini kepada Kabinet esok dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail.
“Ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan.
“Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, tetapi penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang di masa hadapan,” katanya lagi. – Malaysiapost

