Majis Pimpinan Tertinggi Bersatu kaji tubuh Badan Ahli Bersekutu

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

MAJLIS Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan hasrat mana- mana rakyat Malaysia yang ingin menyertai parti sebagai Ahli Biasa ataupun Ahli Bersekutu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata parti itu sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Badan Ahli Bersekutu bagi membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti.

“Berhubung penyertaan ahli baru dalam kalangan bukan bumiputera, Perlembagaan Bersatu sedia ada telah pun memperincikan perihal berkaitan Ahli Bersekutu seperti dalam Fasal 7 (Keahlian), Fasal 8 (Pendaftaran Keahlian) dan Fasal 9 (Tanggungjawab dan Hak Ahli).

“Kita juga sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Badan Ahli Bersekutu yang akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, oleh yang demikian, kenyataan dari beberapa pihak yang mendakwa Bersatu telah lari daripada matlamat asal dengan membuka keahlian kepada bukan bumiputera adalah tidak tepat.

“Sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, Bersatu mengiktiraf sumbangan serta peranan Ahli Bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keputusan Bersatu untuk menerima ahli bukan Melayu menyebabkan parti itu secara sendirinya tidak lagi layak menjadi anggota pakatan orang Melayu Islam yang didukung oleh MN.

Katanya, Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, sebaliknya hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan itu bagi menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.-Malaysiapost