Diskaun bayaran sewa tanah, bangunan kerajaan dilanjutkan

0
2

Nilam Oshman

INISIATF pemberian diskaun kepada penyewa tanah dan penyewa ruang bangunan Kerajaan Persekutuan akan dilanjutkan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata inisiatif tersebut diharap dapat membantu meringankan beban disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

“Disamping memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Shamsul Anuar berkata, KeTSA turut prihatin kepada Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas berikutan pelaksanaan lockdown ini.

Katanya, selain kehilangan sumber pendapatan kerana tiada kutipan tiket masuk, ZPT juga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi termasuk bagi menyediakan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri.

“Semasa PKP pada 2020, sejumlah RM3.9 juta peruntukan daripada Kerajaan dan RM500,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program tanggungjawab sosial korporat disalurkan secara berperingkat kepada 25 ZPT yang terjejas bermula Mei 2020,” katanya.

Beliau berkata, KeTSA melalui peruntukan Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti di bawah PERHILITAN meluluskan penyaluran dana segera berjumlah RM179,426 sebagai peruntukan awal Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis Zoo dan ZPT yang terjejas.

“Bantuan Dana Prihatin kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera oleh 10 premis ZPT berkenaan.

“KeTSA sentiasa komited dalam membantu sektor di bawah kawalan kementerian yang terkesan termasuklah dalam memastikan kebajikan rakyat ditingkatkan dan perlindungan hidupan liar terus terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here