PEMUDA Umno mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyemak semula senarai kilang dan syarikat yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.
Ketuanya, Datuk Dr ASyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana banyak syarikat yang diluluskan itu dikesan tidak menepati kategori ‘essential services’ atau perkhidmatan perlu yang ditetapkan.
“Ia berdasarkan segala maklum balas yang diterima daripada orang ramai sepanjang seminggu ini.
“Memandangkan ada berbaki seminggu Fasa Pertama LockDown ini, kita harus bersama-sama tekad dan tegas dalam usaha bersepadu untuk memutuskan rantaian pandemik virus Covid-19.
“Menurut Data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lebih separuh kluster yang menyumbang kepada peningkatan pandemik adalah datangnya daripada kilang-kilang dan tempat kerja,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendengar segala aduan dan rintihan rakyat.
“Untuk makluman semua, Menteri Kanan Pertahanan juga memaklumkan kepada Pemuda Umno agar menguar-uarkan nombor HOTLINE MKN 03-8888 2010.
“Nombor ini untuk dihubungi dan dibuat aduan sekiranya ada terdapat kilang-kilang dan syarikat-syarikat yang beroperasi tidak mengikut kriteria yang ditetapkan. InsyaAllah identiti pengadu dirahsiakan,” katanya. – Malaysiapost
Dalam hantaran lain, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mahu menjadi ‘wira rakyat’ beliau disaran memperjuangkan i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan moratorium automatik kepada semua tidak terhad B40 tanpa caj/faedah tambahan.
“Cepat betul Ketua Penerangan PPBM ‘claim credit’. Lupakah bahawa rakyat minta Total Lockdown sejak dari awal untuk putuskan rantaian Covid-19 sebelum angka mencecah 9,000 dan kematian juga catat rekod.
“Namun Presiden PPBM tolak dan beri fakta salah kata separuh trilion negara akan rugi kalau buat Total Lockdown, manakala Menteri MITI dari PPBM pula mati-mati pertahankan untuk jangan dibuat Lockdown,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata demikian mengulas kenyataan Wan Saiful semalam yang mendakwa langkah kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ dan penguatkuasaan lebih ketat adalah keputusan tepat yang dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/07/kes-covid-19-turun-bukti-kerajaan-buat-keputusan-tepat/

