Pemandu teksi gesa kerajaan selesai kekeliruan SOP SJR

0
2

GABUNGAN Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) merayu kerajaan menyelesaikan isu pertindihan operasi standard (SOP) dan kekeliruan di Sekatan Jalan Raya (SJR).

Ia susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani kelmarin, memaklumkan polis hanya menerima pakai surat pengesahan pekerja yang dikeluarkan tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain, berkata perkara itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan kepada ahli gabungan berkenaan di seluruh negara, malah anggota polis yang bertugas di SJR.

“Sehingga awal pagi ini, kami masih menerima banyak aduan dari ahli-ahli kami di seluruh negara khususnya di Pulau Pinang dan di Labuan yang mendakwa mereka menghadapi masalah ketika melalui SJR.

“Dimana ahli kami bukan sahaja diminta mengemukakan surat dari MITI, malah ada yang mengadu tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kamarudin mempersoalkan sama ada pihaknya yang termasuk dalam sektor perkhidmatan awam yang dibenarkan beroperasi, masih diwajibkan mendapatkan surat kebenaran dari 10 kementerian dan agensi yang disenaraikan itu.

“Sekiranya kami perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi, tolong maklumkan nama kementerian/agensi terbabit,” katanya.

Kelmarin, Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima pakai surat pengesahan pekerja yang dikeluarkan tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Beliau, berkata tujuh kementerian itu merangkumi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Katanya, surat pengesahan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diterima, selain Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk pengamal perundangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here