Sindiket promosi pelacuran kaut untung RM100,000 sebulan tumpas

0
2

POLIS Kuala Lumpur menumpaskan sindiket dipercayai mempromosikan aktiviti pelacuran dalam talian bagi pasaran tempatan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp, Wechat dan Telegram.

Sindiket itu ditumpaskan susulan serbuan ke atas satu unit apartmen di Jalan Gombak dan satu bilik hotel di Jalan Genting Klang di Setapak kira-kira jam 10.40 malam tadi.

Serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata empat warga tempatan termasuk seorang wanita serta empat wanita warga asing ditahan, kesemuanya berusia 20 hingga 46 tahun.

Wanita warga asing itu melibatkan masing-masing seorang warga China dan Thailand serta dua warga Vietnam.

Beliau berkata pasukan serbuan turut merampas dua set laptop, empat set komputer, 19 telefon bimbit, selain modem serta beberapa barangan lain dan wang tunai RM 1,117 dengan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM50,000.

“Siasatan mendapati premis tersebut beroperasi sebagai pusat calling centre dengan bayaran sewa RM1,500 sebulan bagi setiap unit.

“Setiap pekerja menerima upah antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan kegiatan ini dipercayai meraih keuntungan bulanan kira-kira RM100,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kesemua suspek akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan iaitu mempromosi persundalan secara dalam talian, Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi maksud persundalan, Seksyen 373 kanun sama iaitu mengawal rumah persundalan.

Wanita warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Saiful Annuar berkata, pihaknya memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan kegiatan pelacuran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan tidak bermoral itu secara total di Kuala Lumpur.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here