
LEBIH 57 peratus daripada rakyat Malaysia lebih banyak membeli belah dalam talian berbanding sebelum pandemik yang sekali gus membantu melonjakkan urus niaga dalam talian di negara ini.
Dapatan itu diperoleh melalui kaji selidik terbaharu Juwai IQI mengenai Covid-19, yang mendapati Lazada Malaysia mencatatkan kenaikan 300 peratus bilangan penjual baharu dalam talian.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Group Kashif Ansari, berkata pertambahan aktiviti membeli belah dalam talian itu selari dengan perkembangan pesat bahagian-bahagian ekonomi lain yang membawa kepada peningkatan pembayaran tanpa tunai, penggunaan aplikasi super dan penembusan internet mudah alih.
“Bank Negara Malaysia berkata jualan runcit dalam talian meningkat hampir berganda semasa pandemik dan data kami menunjukkan lebih ramai pengguna berbelanja dalam talian berbanding setahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, peruncit dan pengeluar cederung memilih plaform dalam talian agar mereka boleh menjual kepada pengguna yang banyak membeli menerusi telefon mudah alih berbanding secara bersemuka.
“Ia turut berlaku dalam sektor hartanah, yang biasanya dianggap sebagai industri yang paling jarang berurus niaga dalam talian. Pembeli kini boleh melakukan hampir keseluruhan urus niaga tanpa perlu keluar dari rumah mereka,” katanya.
Menurutnya, kaji selidik itu juga mendapati 68 peratus rakyat Malaysia mahu kembali bekerja di pejabat atau di tempat kerja lain sekurang-kurangnya dua hari seminggu pasca pandemik.
Kashif berkata, meskipun kesukaran yang dihadapi ketika ini, 71 peratus rakyat Malaysia percaya kehidupan di negara ini akan kembali normal menjelang akhir 2022.
“Namun bukan semua orang optimis. Sejumlah 17 peratus responden menjangka kita hanya akan dapat kembali kepada kehidupan normal pada 2023 manakala sebilangan kecil menjangkakan ia melangkaui 2023,” katanya. – Malaysiapost
